KUALA LUMPUR : Merahsiakan pernikahan yang berlangsung pada 5 November lalu, pasangan merpati dua sejoli, Uqasha Senrose dan Kamal Adli akhirnya membuka mulut mengenai status mereka.
Kedua-dua aktor dan aktres tersebut difahamkan telah melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup pada tarikh berkenaan.
Pasangan mempelai dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin di sisi jurunikah Tuan Izzuddin Abdul Mutalib tepat jam 9.39 pagi.
Pada majlis bertemakan dalam taman itu, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 35, menyerahkan wang tunai RM22.50 sebagai mas kahwin.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 29, menerima tujuh dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak Kamal.
Dalam majlis yang diadakan seawal 7.30 pagi itu, beberapa wajah popular turut menjadi saksi upacara pernikahan mereka antaranya adik-beradik Uqasha, Idayu, Datin Nina Juren dan Michael Ang.
Hampir 100 tetamu yang terdiri daripada sanak-saudara serta kenalan kedua-dua mempelai turut hadir.
Pasangan pengantin kelihatan cukup cantik dan segak bergaya mengenakan persalinan daripada pereka Shanell Harun.
Kamal dan Uqasha yang menggayakan busana pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini itu kemudian diraikan dalam sesi memotong kek lima tingkat yang disaksikan oleh para tetamu yang hadir.
Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada April lalu dalam majlis tertutup di sebuah hotel di ibu negara.
Kamal membuat kejutan apabila melamar Uqasha secara langsung pada siaran Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) yang berlangsung Disember tahun lalu.
Hubungan cinta mereka mula menjadi perhatian peminat selepas digandingkan dalam sebuah drama arahan Michael Ang berjudul, Setelah Terlafaznya Akad.