SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkul enam pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2021 (ITEX) yang diadakan secara hibrid di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 13 hingga Disember lalu.
ITEX merupakan sebuah pameran tahunan reka cipta dan inovasi bertaraf antarabangsa anjuran Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (MINDS) dan C.I.S sebagai pihak bertanggungjawab menyediakan platform bagi pameran tersebut.
ITEX 2021 yang merupakan kali ke-32 penganjurannya bertemakan penciptaan semula dan memberi tumpuan kepada isu semasa Covid-19.
Pameran kali ini menerima lebih daripada 500 inovasi daripada 15 buah negara namun, UPM berjaya menarik perhatian pereka cipta dari dalam dan luar negara apabila mempamerkan inovasi serta teknologi yang merangkumi pelbagai bidang seperti pertanian.
Enam pingat emas tersebut merupakan hasil komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam membangunkan inovasi terbaik oleh barisan penerima yang tersenarai iaitu Grafin Tok oleh Prof. Dr. Lim Hong Ngee dari Fakulti Sains dan Putra Amazing Agar oleh Prof. Dr. Syafinaz Amin Nordin dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.
Penyelidikan lain ialah Teknik Dadu Gergasi Imbuhan oleh Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dan Promising Crop Yields from Productive Soil oleh Prof. Dr. Osumanu Haruna Ahmed dari UPM Kampus Bintulu.
Turut menerima pingat adalah penyelidikan bertajuik , GeoCoat-A Novel Fire Retardant Coating Based on Agricultural Waste oleh Ts. Dr. Mohd Salahuddin dan Mohd. Basri dari Fakulti Kejuruteraan dan FS Feed for Life Food Replacement in Aquaculture Industry oleh Dr. Fadhil Syukri dari Fakulti Pertanian.
Grafin Tok™ adalah antara inovasi yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelawat ITEX di reruai UPM dengan menggunakan grafin sebagai komponen utama dalam menghasilkan minyak enjin.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari turut meraikan kejayaan penyelidik UPM di Majlis Anugerah Malam Budaya Cipta ITEX 2021.
“Kami teruja dengan hasil cemerlang semua penyelidik UPM yang sentiasa komited dalam perjalanan untuk membangunkan lebih banyak inovasi cemerlang serta teknologi terkini yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan negara,” katanya.
Anugerah berprestij ITEX 2021 pada tahun ini turut mengetengahkan agensi pendidikan dan latihan vokasional (TVET), sebaris dengan usaha dan agenda nasional untuk meningkatkan sektor TVET.
Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman selaku tetamu kehormat ITEX 2021, turut berkesempatan mengunjungi booth pameran UPM bagi berkongsi pandangan dengan penyelidik muda UPM. -UTUSAN ONLINE