PETALING JAYA: Penyanyi dan peserta Gegar Vaganza 8 (GV8), Upiak Isil yang menyanyikan lagu Sembunyi bersama penyanyi, Usop pada konsert minggu keenam, terpaksa akur dengan keputusan juri dengan penyingkirannya di pentas itu, semalam.
Menerus entri Instagram, penyanyi lagu Tak Tun Tuang itu memuat naik satu hantaran video yang memaparkan raut wajahnya reda dengan pengguguran dirinya di konsert tersebut.
Upiak berkata, dia menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang sentiasa menjadi tulang belakangnya sepanjang menyertai rancangan terkenal itu.
Walaupun tiada rezeki di GV8, namun penyanyi itu tetap terus bangkit dan berjuang dalam industri muzik.
“Assalamualaikum dan maafkan Upiak! Terhentilah langkah Upiak di GV8 ini. Terima kasih Astro untuk pengalaman indah dan bahagia ini.
“Terima kasih Malaysia. Terima kasih kepada semua yang membantu Upiak, maafkan Upiak.
“Upiak akan bangkit dan berjuang lagi. Selamat berjuang semua teman-teman di GV8,” katanya di Instagram.
Rata-rata warganet dan rakan artis menitipkan kata-kata semangat buat penyanyi itu.
“Upiak dah buat yang terbaik. Semoga Upiak mendapat rezeki yang baik-baik di luar sana,” komen seorang warganet.
“Tidak mengapa Kak Upiak, teruskan usaha, sentiasa kuat ya. Kami di sini sentiasa menyokong Kak ya,” komen juga seorang peminatnya.
Sekadar informasi, upiak menjadi peserta ketiga yang tersingkir pada konsert minggi keenam yang bersiaran langsung, semalam.
Upiak memperoleh markah 56.3 peratus gagal meneruskan perjuangan pada minggu yang berbaki cuma empat konsert.