Umum siasatan tanah runtuh di Cameron Highlands kepada orang ramai  - Utusan Malaysia

Umum siasatan tanah runtuh di Cameron Highlands kepada orang ramai 

SAM mahu kerajaan menjalankan siasatan terperinci serta mengumumkan hasil siasatan kepada orang ramai mengenai punca kejadian tanah runtuh di Kilometer 34 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley ke Cameron Highlands semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) mahu kerajaan menjalankan siasatan terperinci serta mengumumkan hasil siasatan kepada orang ramai mengenai punca kejadian tanah runtuh di Kilometer 34 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley ke Cameron Highlands, semalam.

Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, ini kerana pihaknya bimbang sekiranya terdapat sebarang pembersihan tanah untuk aktiviti pertanian atau pembangunan lain yang telah atau sedang dijalankan di kawasan tersebut dan keadaan itu perlu dihentikan segera.

“Terdapat banyak kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands dan sekitarnya, ia jelas menunjukkan langkah-langkah yang telah diambil untuk mencegah tragedi sebegini masih tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.44 petang semalam, dua kenderaan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di laluan berkenaan melibatkan sebuah lori kecil dan sebuah kereta.

Menurut Meenakshi, kejadian hujan lebat bukan sesuatu yang luar biasa dan sudah dijangka, namun bukan penyebab utama tanah runtuh dan kegagalan cerun.

“Bagi situasi kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun dicetuskan oleh hujan lebat yang berterusan, sudah tentu terdapat gangguan kepada rupa bumi semula jadi di kawasan berkenaan.

“Kita semua tahu sekarang kawasan tanah tinggi dan bukit adalah kawasan alam sekitar yang sensitif dan amat terdedah kepada tanah runtuh dan kegagalan cerun,” katanya.

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa bertindak tegas dan mengawal dengan ketat pembangunan di atas tanah bukit dan tanah tinggi.

Selain itu katanya, pemantauan dengan lebih kerap juga perlu dijalankan dengan menguatkuasakan dengan lebih tegas undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Kita perlu menghentikan penukaran tanah bukit serta tanah tinggi serta mengawal aktiviti di tanah tinggi, jika tidak tragedi sebegini pasti berulang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya