UMT cipta bot moden bantu tingkat hasil tangkapan nelayan

UMT cipta bot moden bantu tingkat hasil tangkapan nelayan

MAZLAN Abd. Ghaffar (dua dari kiri) menunjukkan MoA antara UMT dan MSET Inflatable Composit Corporation di kampus UMT, Kuala Nerus, Terenggganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meluaskan lagi kepakarannya dalam bidang kelautan dengan menghasilkan ciptaan bot moden bagi meningkatkan pendapatan nelayan.

Inisiatif itu sekali gus bakal menjadikan universiti berkenaan sebagai yang pertama di Malaysia dalam membangunkan prototaip bot berciri baharu.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, bot nelayan katamaran itu akan dilengkapi dengan peralatan menangkap ikan moden, malah hanya ikan matang sahaja yang ditangkap.

Katanya, inovasi bot itu dijangka memberi impak lebih tinggi kepada pertumbuhan sosioekonomi golongan nelayan termasuk melonjak pendapatan mereka di samping memberi nilai tambah dalam mempromosikan perikanan tradisional kepada yang mampan dan berkecekapan tinggi.

“Pihak UMT akan bergabung kepakaran untuk menghasilkan prototaip bot nelayan moden dan sekiranya berjaya, ia akan dikomersilkan selaras untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada hasil laut import,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas memeterai memorandum perjanjian (MOA) antara UMT dan MSET Inflatable Composit Corporation Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Projek penghasilan prototaip yang diketuai oleh Felo Penyelidik Utama Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar itu mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui geran berjumlah RM3.1 juta.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM), Dr. Mohd. Fazrul Hisam Abd. Aziz berkata, bot moden berkenaan dijangka mampu berada di lautan dalam tempoh lebih lama di samping kos baik pulih yang rendah.

“Peralatan menangkap ikan pada bot ini juga mampu mengurangkan tangkapan sampingan, sekali gus memberi impak amat baik kepada kelestarian sumber perikanan negara pada masa akan datang.

“Malah, pengangkutan air itu juga boleh digunakan untuk aktiviti perikanan rekreasi yang semakin popular sejak kebelakangan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya