PEKAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) giat menjalankan program bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menjadi agenda global seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang 2030.
Peranan universiti begitu besar dalam membantu negara mencapai SDG untuk kelestarian masyarakat dan ia merangkumi usaha memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki boleh dipercayai, lestari dan mampan untuk semua terutamanya buat warga kampus.
UMP turut membabitkan bukan sahaja warga kampus malah komuniti setempat untuk sama-sama mencapai SDG dengan mengadakan pelbagai program lestari serta menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan hutan dalam usaha menangani isu perubahan iklim.
Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, penganjuran Program Jelajah Kampus Hijau Bersama Media mengajak para pengamal media dan agensi di negeri ini untuk sama-sama meneroka keindahan kampus hijau lestari.
“Program ini dianjurkan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan penanaman pokok, penjagaan dan teknik pemuliharaan tahap kualiti air tasik, menyemarakkan semangat sukarelawan dan cintakan alam sekitar.
Penganjuran acara itu seiring komitmen universiti dalam menyokong matlamat SDG, di samping memberi pendedahan mengenai kepentingan menjaga kesihatan dengan amalan gaya hidup sihat dan persekitaran hijau,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Kampus Hijau Bersama Media dI sini semalam.
Program yang disertai 40 pengamal media di negeri ini berpeluang meninjau ke beberapa kawasan hijau yang menjadi tarikan baharu di UMP termasuklah pondok wakaf teknologi solar di Rimba Lestari yang mampu memberi kemudahan buat pengunjung mendapatkan sumber tenaga bagi kegunaan gajet elektronik.
Menjelang 20 tahun UMP pada 16 Februari tahun depan, sebanyak 20 program sambutan telah dirancang melibatkan kerjasama semua pusat tanggungjawab di universiti itu merangkumi kluster akademik, hal ehwal pelajar dan alumni, penyelidikan dan inovasi dan sambutan.
Yuserrie berkata, UMP menghargai sokongan media terhadap publisiti dan liputan meluas yang telah diberikan sejak penubuhan universiti itu yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) sejak 19 tahun lalu.
Kini katanya, masyarakat awam telah mengenal UMP dan mengetahui peranannya dalam melahirkan jurutera dan teknologi yang berdaya saing.
Tambahnya, UMP berbesar hati mendapat kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada agensi media dalam menyampaikan perkembangan dan kecemerlangan universiti kepada khalayak.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Hussin berkata, pihaknya menghargai komitmen UMP dalam menjalinkan hubungan erat bersama media sejak awal penubuhannya.
“UMP sentiasa dekat di hati pengamal media dan mengharapkan kerjasama ini akan terus berkekalan dengan penganjuran pelbagai program rekreasi, khidmat komuniti dan lain-lain,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE