MELAKA: Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu lewat malam tadi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secepat mungkin.
Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, sebagai ahli parti, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO perlu mengikut keputusan sebahagian besar persidangan perwakilan bahagian di seluruh negara semalam yang mendesak PRU-15 diadakan seberapa segera.
Menurutnya, perwakilan bahagiannya juga mendesak pemilihan parti wajar diadakan selepas PRU-15 dan mendapat sokongan sebulat suara dalam kalangan 530 yang menghadiri persidangan tersebut.
“UMNO Tangga Batu menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, namun pada masa yang sama beliau sebagai ahli parti perlu mengikut kehendak parti dan memikirkan apakah kebaikan yang boleh menjayakan parti.
“Usul PRU-15 perlu diadakan segera, bagi ahli parti penting untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh demi kemakmuran rakyat Malaysia tanpa menafikan aspirasi Keluarga Malaysia.
“Pemilihan parti pula perlu diadakan selepas PRU-15 iaitu mengikut jadual yang ditetapkan pada Disember tahun hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menangguhkan persidangan tersebut.
Kedua-dua usul tersebut dibacakan oleh Ketua Penerangan Bahagian, Datuk Mohd. Asri Abdul telah mendapat sokongan 530 ahli parti menghadiri persidangan itu di Baitul Tariq, Klebang di sini.
Tambah Mohamad Ali, sokongan agar pemilihan parti di semua peringkat perlu diadakan selepas PRU-15 adalah bagi mengelak perpecahan dalaman parti.
“Jika ada di antara ahli yang tewas sama ada di peringkat cawangan atau bahagian, sudah tentu mereka berasa kecewa bila kalah dan sudah pasti tidak akan membantu jentera menghadapi PRU-15,” ujarnya.