Ulat berengga bahan 'penambah rasa' petis udang  - Utusan Malaysia

Ulat berengga bahan ‘penambah rasa’ petis udang 

ULAT berengga yang ditemukan di dalam tong penyimpanan petis udang di sebuah kilang memproses makanan di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Bau busuk dan meloyakan di dalam stor sebuah kilang pemprosesan  makanan di Pantai Acheh di sini, membongkar penemuan ulat berengga di dalam tong penyimpanan petis udang di stor berkenaan. 

Malah, kilang yang beroperasi sejak lebih 50 tahun itu dipercayai menyimpan stok petis udang lama yang dipenuhi ulat berengga itu di stor yang sama dengan produk baharu. 

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), Mohd. Wazir Khalid berkata, siasatan juga mendapati pemilik premis  mengguna pakai logo halal tanpa kelulusan pihak bertanggungjawab iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 

“Ada antara produk petis udang ini yang tarikh luputnya 2024, namun pemeriksaan mendapati produk ini telah rosak. 

“Kilang berkenaan juga meletakkan logo halal palsu untuk mengaburi mata pengguna walaupun tidak pernah mendapatkan sijil halal dan kita akan melaporkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini. 

Menurutnya, susulan serbuan berkenaan, pihaknya mengeluarkan dua notis kompaun berjumlah RM5,000 dan premis itu juga dikenakan arahan penutupan selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 untuk pemilik menjalankan kerja-kerja pembersihan. 

“Antara alasan utama yang diberikan pemilik ialah mereka tidak sempat membuang produk lama yang telah berulat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Itu adalah antara alasan yang sering diberikan oleh pemilik premis yang telah kita serbu, dan kita telah arahkan mereka membersihkan produk mengikut piawaian kesihatan yang ditetapkan,” katanya. 

Tambahnya, petis udang itu percayai dihasilkan untuk edaran ke seluruh negeri ini dan turut digunakan untuk membuat rojak. 

“Kita pernah membuat serbuan pada tahun lalu serta telah meminta pemilik membuat penambahbaikan namun tidak dilaksanakan,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Mohd. Wazir berkata, sebuah kilang pembuatan kicap di Jalan Batu Maung, Bayan Lepas juga diperintah tutup selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan tidak mematuhi standard kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya