ALOR SETAR: Setiap ujian dan dugaan yang dilalui pada 2021 seperti penularan Covid-19 dan banjir besar baru-baru ini perlu dijadikan sebagai kekuatan untuk melangkah ke 2022.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, setiap ujian tersebut perlu dilalui dengan reda dan berlapang dada terhadap kehendak dan kekuasaan Allah SWT.
Katanya, setiap pengalaman dilalui sekiranya dihadapi dengan baik, mampu dijadikan sebagai panduan bagi menyesuaikan diri dengan dugaan Allah.
“Seperti ditegaskan dalam al-Quran, setiap kita akan diuji Allah dari semasa ke semasa. Selamanya dalam kehidupan kita di dunia ini akan diuji dan itu sesuatu yang tidak dapat kita elakkan.
“Allah SWT tidak akan mengenakan ujian kepada hambanya jika insan tersebut tidak mampu menanggungnya. Segala ujian itu daripada Allah SWT dan Allah SWT maha mengetahui bahawa setiap ujian itu berada dalam kemampuan kita untuk menanggungnya.
“Jika kita faham akan hakikat ini, itulah yang akan menjadi panduan kepada kita dalam menjalani kehidupan hingga mampu menjadi lebih tenang dan bersedia berdepan dugaan. Namun sesuatu yang paling penting, jangan putuskan ‘radar’ dengan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pondok Warga Emas di Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, Kampung Sungai Mati dekat Mukim Lepai di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman.
Sementara itu, Syeikh Fadzil berkata, tidak ada salahnya untuk umat Islam mengucapkan selamat tahun baharu malah Selamat Hari Krismas sekali pun kepada mana-mana penganut agama Kristian di negara ini.
“Baru pagi tadi saya ikuti pandangan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayyeb berkaitan perkara ini. Beliau menyatakan tiada tegahan dalam agama kita untuk menyampaikan ucapan sedemikian kepada bukan Muslim.
“Apabila kita ucap selamat kepada mereka, itu tidak bermakna kita memberi pengiktirafan bahawa agama mereka adalah agama yang betul. Asalkan kita tidak turut serta melakukan ritual agama mereka,” katanya.
Tambahnya, hubungan yang terjalin bersama masyarakat bukan Islam itu perlu difahami bukan terjalin untuk berkompromi dari segi agama dan akidah.
“Sebaliknya ikatan itu terjalin dari sudut kemanusiaan. Islam juga menuntut kita kita berkelakuan baik dan adil termasuk terhadap orang bukan Islam,” katanya.