SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengumumkan cuti bencana dengan semua kuliah dibatalkan mulai hari ini hingga Sabtu atau 20 hingga 25 Disember.
Langkah tersebut diambil selepas mendapati terdapat mahasiswa dan kakitangan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dan menjadi inisiatif inisiatif bagi meringankan dan membantu pelajar yang terkesan.
Menurut Naib Canselornya, Profesor Dr.Roziah Mohd. Janor, dalam satu kenyataan, beliau mengambil maklum mengenai kejadian banjir kilat luar biasa yang melanda sebahagian besar negara sejak kelmarin berikutan hujan lebat berterusan.
“Bencana alam tersebut didapati menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi semester akademik sesi I 2021/2022.
“Justeru, UiTM amat mengambil berat dan prihatin terhadap situasi yang dihadapi oleh pelajar dan staf UiTM (sokongan dan akademik),” katanya.
Sehubungan itu Roziah memaklumkan, setelah melalui perbincangan bersama Majlis Eksekutif Universiti, pihak UiTM mengumumkan cuti bencana iaitu semua kuliah dibatalkan.
Katanya, sepanjang tempoh cuti tersebut, tiada sebarang aktiviti kuliah, pentaksiran dan penghantaran tugasan dilaksanakan.
“Susulan dari itu, cuti bencana ini akan dilanjutkan dengan cuti khas perayaan pada 25 Disember 2021 hingga 2 Januari tahun depan sepertimana yang telah ditetapkan dalam kalendar akademik sesi I 2021/2022.
“Para pensyarah boleh menggunakan minggu ulang kaji bermula 31 Januari 2022 hingga 5 Februari 2022 bagi tujuan penggantian kuliah.
“Bagi Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang akan dilaksanakan pada 21 hingga 22 Disember tahun ini diteruskan secara dalam talian,” jelasnya.
Beliau menambah, seluruh warga UiTM mendoakan agar semua pensyarah, pelajar dan warga UiTM seluruhnya yang terlibat dengan bencana banjir dipermudahkan segala urusan, diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian serta dilindungi daripada sebarang musibah.