PETALING JAYA: Had umur Ketua Pemuda UMNO Malaysia perlu diturunkan kepada di bawah 40 tahun jika parti benar-benar mahu relevan dan diterima di dalam kalangan generasi muda.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Fauzi Faizal berkata, perkara itu amat penting dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk pelaksanaan undi 18 tahun tidak lama lagi.
Kata beliau, malah ia selaras jawatan lain dalam kepimpinan Pemuda UMNO yang telah mengehadkan sehingga umur 40 tahun.
“Tetapi hanya satu jawatan iaitu Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang tiada had umur untuk dipertandingkan berbanding jawatan-jawatan lain termasuk Ketua Pemuda Bahagian yang dihadkan.
“Sudah masa kita mengorak dalam soal ini jika mahu meremajakan UMNO dengan bermula dalam sayap Pemuda supaya parti lebih relevan dan segar di mata rakyat khususnya golongan muda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, usul menurunkan umur Ketua Pemuda UMNO telah dikemukakan dalam mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau yang berlangsung pada kelmarin.
Fauzi menambah, usul itu dilihat amat wajar memandangkan sayap-sayap Pemuda parti lain termasuk pembangkang sendiri telah menurunkan had usia tersebut, namun hanya UMNO masih tidak lagi berbuat demikian.
“Jika kita berbicara dalam soal meremajakan UMNO, ianya perlu bermula dalam Pemuda sendiri agar perubahan ini memberi kesan menyeluruh dalam parti.
“Barulah orang muda tengok UMNO sebuah parti yang relevan kepada orang muda dan memberi peluang kepada orang muda untuk bersama-sama dalam saf kepimpinan parti.
“Oleh itu sebab itu, kami mengusulkan cadangan ini agar dapat diketengahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang,” jelasnya.
Beliau menjelaskan cadangan usul itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana individu dan mempunyai agenda tertentu, sebaliknya ia demi untuk memperkukuhkan parti.
“Saya yang mengangkat usul ini sudah berusia 38 tahun, buat apa saya hendak bertanding lagi sekiranya cadangan ini berjaya diterima sebulat suara oleh perwakilan nanti,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE