PETALING JAYA: Sebuah video tular dalam platform media sosial Tik Tok selepas dimuat naik seorang gadis dikenali sebagai @Razberry yang menunjukkan dia ditinggalkan oleh keluarganya di sebuah stesen minyak, selepas ke tandas.
Video yang tidak menyatakan lokasi kejadian tersebut berlaku menunjukkan gadis berkenaan berpatah balik sebaik sahaja menyedari ketiadaannya di dalam kereta.
Selepas ketibaan kereta keluarganya, gadis tersebut bergegas masuk dan menceritakan perasaan serta pengalamannya ditinggalkan secara tidak sengaja di stesen minyak oleh keluarganya.
Video bertajuk ‘Ketakutan baru emak ayah tertinggal kau dekat tandas stesen minyak’ berdurasi selama 18 saat itu mendapat bilangan tontonan 159,800 dan sebanyak 18,300 tanda suka, setakat pukul 4.40 petang ini.
Hasil tinjauan di ruangan komen, rata-rata warganet mengakui kejadian itu sangat lucu dan segelintir mereka berkongsi pengalaman sama pernah ditinggalkan secara tidak sengaja.
“Teringat aku tertinggal kakak aku dekat masjid, nasib baik dia telefon, kalau tidak memang tidak perasan,” kongsi @micanur.
Seorang pengguna, @icaa berkata: “Lebih baik tertinggal tetapi sudah keluar dari tandas dan dia dahulu terkunci dalam tandas stesen minyak, berasa amat gelabah pada hari tersebut.”
“Saya pernah ditinggalkan, saya tunggu dalam dua minit macam itu. Lepas itu saya berjalan-jalan, lepas itu gelabah mak ayah mencari saya. Siapa suruh tinggal,” kata @2.0 – UTUSAN ONLINE