KUALA PILAH: Seorang tukang kabinet dapur didenda sebanyak RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini selepas memperdaya pelanggannya sehingga mengalami kerugian sebanyak RM3,650, tahun lalu.
Muhammad Ezuwan Nordin, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Ezuwan menipu Ramli Yunus, 32, dengan memperdayakan untuk mempercayai akan melaksanakan pemasangan kabinet dapur di rumah Ramli.
Tertuduh dengan curangnya mendorong Ramli menyerahkan kepadanya wang berjumlah RM3,650 di mana Ramli tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian oleh tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 19 Jun 2020 sehingga 2 Julai 2020 jam lebih kurang 11.26 pagi sehingga 10.49 malam bertempat di sebuah rumah di Taman Senimas, di sini. Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sekiranya gagal menjelaskan denda, tertuduh bakal berhadapan hukuman penjara tujuh bulan. Tertuduh merayu hukuman terhadapnya diringankan kerana baru berkahwin serta menanggung isteri yang tidak bekerja dan menanggung ibu yang sedang sakit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Majistret kemudiannya menyatakan, dalam menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh, mahkamah telah mendengar rayuan tertuduh dan juga hujah pemberat Timbalan Pendakwa Raya serta kepentingan awam. – UTUSAN ONLINE