Tubuh suruhanjaya teliti dasar hadapi bencana - Anwar

Tubuh suruhanjaya teliti dasar hadapi bencana – Anwar

ANWAR Ibrahim pada sidang akhbar selepas  Majlis Pemantapan Pilihan Raya Keadilam Kedah di Merdeka Beach Resort, Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi meneliti semula dasar dan peranan agensi berkaitan dalam menghadapi serta menguruskan bencana di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan persediaan menghadapi bencana dapat dilaksanakan secara tersusun dan drastik dalam membantu mangsa.

Menurutnya, penyelarasan bantuan kepada mangsa dilihat perlahan dalam kejadian banjir di beberapa negeri sehingga menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mangsa terlibat.

“Harus ada suruhanjaya teliti semula seluruh dasar peranan dan tindakan diambil, supaya kita tidak berulang dalam hal ini, banjir ini bukan perkara baharu di Malaysia.

“Jadi semua kena jawab, Menteri Pertahanan, Perdana Menteri dan menteri yang lain (mengenai kelewatan memberi bantuan menyelamat kepada mangsa banjir).

“Saya masih ingat, semasa saya Timbalan Perdana Menteri, ketika itu menangani masalah ini (banjir) pada tahun 1995, ketika banjir dan malam itu juga Mesyuarat Khas, malam itu buat keputusan, malam itu kerah tentera, turun malam itu jugak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pemantapan Pilihan Raya Keadilan Kedah Merdeka Beach Resort, Pantai Merdeka, di sini hari ini. 

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan bencana banjir terutamanya di Selangor.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sentiasa telus dan tidak boleh menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya, pengajaran perlu diambil dalam menghadapi bencana sama pada masa akan datang.

Ismail memberitahu, tanggungjawab dalam pengurusan bencana banjir tidak hanya terletak di ‘bahu’ Kerajaan Persekutuan, tetapi juga kerajaan negeri dan petugas di peringkat daerah turut memainkan peranan paling penting.

Anwar yang juga Pengerusi  Pakatan Harapan (PH) menambah, beliau tidak bersetuju tindakan pihak tertentu yang menyalahkan agensi penyelamat seperti pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lewat bertindak.

“Kalau kita (kerajaan) bagi arahan cepat dan jelas, dia (anggota ATM serta JBPM) keluar. Masalahnya adalah kepemimpinan bukan sahaja lembab tapi telah sebabkan penyaluran makanan (lambat sampai),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar Ibrahim menyatakan penubuhan sebuah parti baharu yang dikenali sebagai Parti Bangsa Malaysia tidak sesekali menggugat keberadaan parti yang dipimpinnya itu.

Menurutnya, kesemua ahli parti baharu itu sebelum ini telah mengkhianati PKR, selain perjuangan mereka hanyalah berpaksikan kedudukan serta wang semata-mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya