BALIK PULAU: Mangsa tragedi serangan ‘ombak besar’ atau tsunami di daerah ini menyifatkan tanggal 26 Disember setiap tahun adalah detik paling mengerikan dan menjadi tarikh keramat dalam hidup mereka.
Mereka yang tinggal berdekatan Jeti Nelayan Pulau Betong di sini, masing-masing mengharapkan detik ngeri 17 tahun lalu itu tidak berulang.
Seorang penduduk, Nornie Ismail, 43, berkata, dia masih terbayangkan bunyi dentuman ombak besar ketika membelah laut sebelum menghempap rumah mereka dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu.
Ceritanya, dia sukar melupakan tragedi hitam itu setiap kali tibanya tarikh tersebut selain terkenangkan keadaan keluarga dan penduduk yang berkampung dalam khemah di kaki bukit berhampiran hampir sebulan.
“Kalau boleh, memang kami tidak mahu mengingati semula detik paling mengerikan ini. Hendak melupakan terus dan biarkan hilang dari ingatan.
“Masih terbayang bunyi dentuman ombak yang sangat kuat dari belakang dapur sehinggakan kami bertempiaran lari dan saya turut menyelamatkan empat anak yang ketika itu berada di Pantai Pasir Panjang.
“Mujur depa (mereka) tidak dibawa ombak kerana dapat melarikan diri dan bersembunyi di belakang pokok serta tempat lebih tinggi dari pantai,” katanya yang sempat menyelamatkan pengunjung pantai itu daripada lemas dibawa tsunami selain melihat mayat bergelimpangan.
Ibu kepada empat cahaya itu memberitahu, dia juga masih terbayangkan keadaan rumahnya yang hanya tinggal tiang manakala kereta Proton Iswara Aeroback miliknya tersangkut di kaki bukit berhampiran.
“Semua rumah di sini musnah dan ditenggelami selut tebal. Tidak ada apa-apa yang sempat diselamatkan termasuk peralatan persekolahan anak-anak.
“Kami berdoa dan berharap tragedi tsunami tidak berulang. Biarlah itu yang terakhir,” jelasnya sebak.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, beliau sedaya upaya mahu melupakan tragedi tsunami yang nyaris mengorbankannya yang ketika itu berada di Jeti Nelayan Sungai Burung.
“Sebagai wakil rakyat ketika itu, saya mengadakan lawatan di jeti nelayan yang dilaporkan musnah teruk akibat bencana tsunami.
“Semasa itu, air di kuala sungai kelihatan surut. Saya ke situ dengan membonceng motosikal. Dalam beberapa minit, saya terkejut melihat ombak besar kedua setinggi satu meter datang laju ke arah kami.
“Saya sempat berpaut pada sebatang tiang elektrik, jika tidak mungkin sudah dihanyutkan ombak. Separuh badan basah dan hilang kata-kata melihat kejadian yang menimpa,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam. – UTUSAN ONLINE