PUTRAJAYA: Terkesan dengan situasi banjir yang melanda Gua Musang di Kelantan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tampil menggerakkan misi bantuan kemanusiaan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di kawasan tersebut.
KTM dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 200 bungkusan makanan kering dan keperluan asas harian diagihkan kepada penduduk yang terjejas bencana alam berkenaan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan troli rel ekoran beberapa laluan jalan raya ditenggelami air dan menyukarkan mangsa mendapatkan bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, misi terbaharu kali ini membabitkan tiga perkampungan di daerah Gua Musang meliputi hentian kecil Kampung Pan Malayan di Batu 6, Kampung Sungai Sirian di Batu 11 dan Sungai Sirian di Batu 12.
Penggunaan troli rel tersebut, ujarnya, dianggap lebih praktikal bagi mempercepat urusan penghantaran terus kepada sasaran penduduk yang terkesan di perkampungan berkenaan. – UTUSAN ONLINE