BACHOK: Mana-mana syarikat atau individu kehilangan sebuah tongkang yang dipercayai hanyut sebelum tersadai di Pantai Melawi, di sini diminta tampil membuat laporan polis untuk menuntut semula pengangkutan air itu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Muhammad Ismail Jamaluddin berkata, tongkang itu ditemukan anggota pasukan pemantau Op Covid-19 (Bravo 8) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) yang menjalankan rondaan di pusat peranginan, pukul 5.30 petang semalam.
Menurutnya, tongkang berukuran 100 meter panjang dengan ketinggian lapan meter itu tersadai berhampiran Chalet Sri Perkasa, di sini dan dipercayai terputus tali sauh disebabkan keadaan laut bergelora sejak beberapa hari lalu.
“Sehingga kini belum ada sebarang laporan diterima berkaitan kehilangan tongkang itu. Polis sedang mengesan pemilik tongkang berkenaan termasuk menyemak butiran berkaitan dengan Jabatan Laut Malaysia.
“Terdapat tulisan MMS 009 SC 4726 pada badan tongkang berkenaan yang boleh menjadi asas (bukti) pemilikan mana-mana syarikat atau persendirian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Ismail dalam pada itu berkata, berdasarkan keterangan pemilik Chalet Sri Perkasa, tongkang berkenaan dikatakan mula tersadai di situ sejak pukul 8 pagi semalam.
“Polis Bachok juga akan menyemak laporan dengan daerah-daerah yang bersempadan untuk mengesan mana-mana syarikat atau pemilik persendirian yang kehilangan tongkang tersebut,” katanya.