GEORGETOWN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung punca sebenar pencemaran di Sungai Jelutong dan Sungai Pinang di sini.
Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, TNB mematuhi arahan MBPP untuk menghentikan sementara kerja penanaman kabel di Sungai Jelutong dan Sungai Pinang itu.
“Laluan kerja-kerja Horizontal Direct Drilling (HDD) berkenaan dibuat berdasarkan pemetaan bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada laluan infrastruktur utiliti lain.
“TNB sedang memberikan kerjasama kepada JAS yang sedang membuat siasatan terperinci atas punca sebenar pencemaran di kedua-dua sungai tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, kontraktor TNB diarahkan memberhentikan semua kerja tapak yang menyebabkan pencemaran Sungai Jelutong dan Sungai Pinang di sini serta-merta.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataannya berkata, pihaknya turut mengarahkan kontraktor TNB melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga keadaan di tapak didapati memuaskan.
Menurut Husaini, semakan awal TNB berikutan dakwaan pencemaran pula mendapati kerja-kerja HDD oleh kontraktor dilantik terletak berjauhan daripada kedua-dua sungai manakala sisa buangan kerja-kerja pengorekan dilupuskan di kawasan berjauhan dari tapak projek.
“Kerja-kerja penanaman kabel ini dilaksanakan untuk penyambungan bekalan pada voltan 132kV ke pencawang masuk utama Datuk Keramat yang sedang dalam pembinaan dan dijadualkan siap pada Jun 2022,” katanya.-UTUSAN ONLINE