JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah bahawa pasukan sukarelawan Southern Volunteer bersiap siaga untuk berkhidmat di enam negeri terlibat bencana banjir ketika ini.
Titah Tunku Ismail, pasukan itu boleh membantu kerja-kerja seperti membersih dan pengagihan sumbangan barangan keperluan.
“Saya mengambil maklum mengenai bencana banjir yang telah melanda enam negeri dan saya berharap pihak berkuasa memberi pertolongan kepada semua yang terjejas.
“Saya juga telah mengarahkan agar Southern Volunteers bersiap sedia untuk dihantar ke kawasan-kawasan banjir bagi usaha membantu, membersih dan pengagihan sumbangan barangan keperluan,” titah baginda di sini hari ini.
Titah Tunku Mahkota Johor juga, tumpuan turut perlu diberikan kepada usaha pencegahan banjir dengan segera.
Semalam, ekoran fenomena Lekukan Tropika yang menyebabkan taburan hujan tinggi, enam negeri mengalami banjir sehingga menjejaskan seramai 6,479 mangsa daripada 2,898 buah keluarga.
Enam negeri tersebut adalah Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.- UTUSAN ONLINE