Tiupan angin timur kembali di Perlis - Utusan Malaysia

Tiupan angin timur kembali di Perlis

SUASANA dingin kembali melanda Perlis menandakan kedatangan musim angin timur. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kedatangan musim angin timur cukup dinantikan rakyat negeri ini yang dapat menikmati suasana dingin dan sejuk dengan penurunan suhu sehingga 22 darjah Celsius khususnya pada awal pagi.

Kedinginan tiupan angin timur tersebut sudah mula dirasai sejak minggu lalu dan keadaan bertambah sejuk khususnya pada tengah malam sehingga awal pagi.

Sebagai rekod, Perlis pernah mencatatkan cuaca paling sejuk sehingga 16 darjah Celsius iaitu pada 4 Februari 2004.

Seorang penduduk, Azizi Bakar,39, berkata, suhu sejuk tersebut mula dirasai sejak beberapa hari lalu sekali gus menandakan musim angin timur sudah kembali di negeri ini.

Katanya, pada tengah malam dan awal pagi, kesejukan tersebut sangat dirasakan menyebabkan dia terpaksa memanaskan air untuk mandi.

Ujarnya yang menetap di Jalan Rani Estate, Arau, pada waktu malam, dia terpaksa menggunakan selimut lebih tebal kerana tidak tahan sejuk ketika tidur.

“Sememangnya saya sangat menantikan musim angin timur ini kerana pada waktu inilah kita dapat menikmati suasana yang cukup nyaman dan sejuk selepas selalunya rakyat Perlis berdepan cuaca panas lazimnya sehingga mencecah 36 hingga 40 darjah Celsius.

“Setiap hujung tahun sehingga Januari, kita lazimnya menikmati cuaca sejuk dan nyaman ini. Selepas berpanas, musim sejuk dan tiupan nyaman angin timur amat dinantikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Irwan Kamis,40, berkata, sejak beberapa hari lalu, suasana sejuk dapat dirasai malah menjelang tengah hari dan dan petang suasana dingin itu masih ada.

Kata peniaga itu, suasana seperti ini cukup menyeronokkan seolah-olah seperti berada
di Cameron Highlands.

“Pada sebelah malam sejak beberapa hari lalu, saya terpaksa menggunakan selimut tebal dan lebih selesa tidak membuka kipas atau pendingin hawa. Suasana sejuk dan dingin ini, sangat menyegarkan. Selalunya cuaca sejuk dan dingin ini berlarutan sehingga Januari,” katanya.

Muhammad Zaim Redzuan,35, pula berkata, dia yang pulang bercuti di Perlis dari Kuala Lumpur merasai suasana cukup sejuk sebaik sahaja tiba di negeri ini pada waktu malam. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya