PETALING JAYA: Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia menyarankan orang ramai untuk meningkatkan kempen kesedaran reduce, reuse, recycle’ atau 3R pada tahap individu terutamanya sebagai langkah membantu pembangunan kelestarian alam sekitar.
Ketua dasar dan perubahan iklim WWF Malaysia, Lakshmi Lavanya Rama Iyer berkata, ini kerana perkara seperti kelestarian alam sekitar terutamanya tidak banyak diberikan penumpuan dan perhatian.
Beliau berkata, pada masa kini, alam sekitar hanya dianggap sebagai sebagai satu benda yang memberi kepada kita semua dan tidak perlu menguruskannya dengan baik.
“Kita buang sampah merata-rata tempat, bahkan ramai dalam dunia juga mengambil banyak perkara dari alam sekitar, penggunaan kita terlalu banyak.
“Daripada penggunaan itu ada banyak bahan buangan dan kembalikan semula kepada alam sekitar.
“Jika perkara ini berterusan, keupayaan alam sekitar untuk memberi dan mengambil semula bahan buangan itu semakin lama semakin berkurang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan untuk meningkat kesedaran orang ramai terhadap soal alam sekitar.
Menurut beliau, alam sekitar perlu lebih dihormati tanpa mengambil kira berapa banyak yang diambil dan apa yang dibuang kembali pada alam sekitar.
“Alam sekitar perlu dijadikan sebagai isu utama bukannya sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata, apabila perkara itu berlaku, maka barulah adanya lebih penumpuan kepada kelestarian.” katanya.
Tambah beliau, perubahan iklim juga bukanlah satu perkara yang dijangka berlaku dalam 50 atau 100 tahun lagi, tetapi kini semua pihak sedang mengalaminya.
Oleh itu katanya, negara perlu mempunyai sifat yang lebih daya tahan dalam menghadapi perubahan iklim masa kini.
“Dengan itu, kita kena (ada) ketahanan ekonomi dan pengurangan karbon bagi membolehkan lebih peluang ke arah itu (menurunkan suhu dunia).
“Ini kerana kita perlu menjadi mampan (membolehkan) adanya banyak peluang agar kehidupan kita lebih selesa,” katanya.
Menurut beliau, sememangnya transformasi itu memberikan satu bentuk pembaharuan baru, namun pelbagai industri baharu dapat dibangunkan.
“Teknologi yang baru dan ini akan memberi kesan positif kepada alam sekitar dan orang ramai.
“Contohnya, kemampanan dengan adanya sistem LRT dapat memberi kesan yang positif kepada alam sekitar dan bagus untuk gaya hidup kita.
“Walhal mungkin kita anggap perubahan yang kita buat itu menyusahkan kita, tetapi tak kita akan jadi lebih selesai dalam kehidupan kita,” katanya.
Sementara itu, Lakshmi Lavanya berkata, tidak dinafikan sumbangan negara dalam mengurangkan perubahan iklim setakat hari ini amat baik.
Katanya, ini kerana masih mempunyai 50 peratus tanah sebagai liputan hutan yang amat mustahak dalam berfungsi sebagai penyerapan karbon.
“Kita juga mempunyai inisiatif karbon rendah, aktiviti karbon rendah di bandar seperti teknologi hijau untuk pembangunan karbon yang lebih rendah di bandar, Rangkakerja Bandar Raya Rendah Karbon dan Pelan Utama Bandar Raya Rendah Karbon,” katanya.
Ujar beliau, negara juga sememangnya mempunyai polisi alam sekitar yang menyeluruh, namun kadang kala ia perlu dikaji atau dinilai semula diperbaharui berdasarkan konteks terkini.
“Contohnya kita mempunyai polisi perubahan iklim yang dikeluarkan pada 2009, tetapi polisi itu sudah lama dan tidak mengambil kira Perjanjian Paris,” katanya.
Bagaimanapun katanya, bukanlah mahu menafikan polisi itu tidak bagus, tetapi perkara yang lebih merisaukan adalah keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan pelaksanaan polisi dan pelan yang dirangka itu.
“Jika dilihat polisi terbaru dan pelan terbaru adalah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), sememangnya terdapat banyak perkara yang agak menarik di dalamnya,” katanya.
“Malah RMK-12 meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai satu daripada tiga tema yang lain, tema lain berkenaan ekonomi dan sosial.
“Dalam pelan itu juga kita melihat ia menggunakan kaedah kelestarian yang lebih integrated seperti dari segi pembangunan bandar dan pelancongan.
“Namun apa yang perlu dilihat pada masa kini adalah bagaimana kaedah pelaksanaannya. Bagaimana kita dapat memantau bahawa pelaksanaan itu sememangnya mengikut apa yang ditetapkan oleh pelan itu.” katanya. -UTUSAN ONLINE