SEGAMAT: Tiga maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Labis-Chaah berhampiran Taman Suria, Labis, dekat sini kira-kira pukul 10.12 malam tadi.
Mangsa yang maut dalam kemalangan itu ialah pemandu dan penumpang Hyundai Sonata, S. Pannir Selvam, 56 dan P. S Meenalatha, 35, serta pemandu Proton Iswara, Kamarul Zaman Abdul Shukor, 42.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md. Sarif berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan penumpang kereta Hyundai Sonata cedera dan identitinya sedang dikenal pasti.
“Anak kepada Kamarul Zaman, Mohd. Amirul Hakimi, 18, pula cedera parah. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Hafifie berkata, pemandu treler berusia 43 tahun membawa muatan simen ditemukan dalam keadaan selamat. – UTUSAN ONLINE