KANGAR : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan kelas A di kedudukan 3.24 batu nautika barat Kuala Perlis di sini, kerana disyaki menjalankan aktiviti perikanan menggunakan peralatan dilarang, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, tiga kru bot yang berpengkalan di Kuala Kedah itu dikesan menangguk siput jenis retak seribu dalam keadaan gelap di sekitar perairan Perlis sekitar pukul 12.50 tengah malam.
Katanya, ketiga-tiga kru termasuk tekong yang kesemuanya warga tempatan berumur lingkungan 16 tahun hingga 45 tahun ditahan semasa sedang leka melakukan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 (3) (a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendali atau membenar dikendalikan, apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan, peranti mengumpul ikan atau sistem kultur laut tanpa suatu lesen berkenaan dengannya.
“Kesemua peralatan yang dirampas termasuk satu set sangkar besi berupa tangguk siput yang dianggarkan bernilai RM2,000 dan hasil laut jenis siput retak seribu seberat 300 kilogram bernilai RM600 dengan nilai keseluruhan rampasan sekitar RM2,600,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE