Tidak tidur lena, bimbang gelombang kedua banjir lebih besar

Tidak tidur lena, bimbang gelombang kedua banjir lebih besar

NORHASNAH Md. Yunus meninjau keadaan air bah yang tidak menentu keadaannya serta bimbang jika berlaku banjir gelombang kedua. Di belakang Norhasnah kelihatan rumah lama beliau yang lebih separuh telah ditenggelami air. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Mangsa banjir di Kampung Sungai Ganchong di sini sentiasa berwaspada ancaman gelombang kedua musibah itu yang dijangka melanda kawasan di pantai timur termasuk di negeri ini.

Seorang ibu tunggal, Norhasnah Mat Yunos, 60, berkata, setiap tahun, kediamannya menjadi rumah pertama dinaiki air jika berlaku banjir di daerah ini kerana lokasinya di kawasan rendah.

“Saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengurniakan bantuan membolehkan rumah baharu saya dibina lebih tinggi iaitu lebih kurang 2.4 meter.

“Kawasan rumah tetap dinaiki air kali ini, tetapi, alhamdulillah, ia tidak masuk ke dalam rumah seperti tahun-tahun terdahulu kerana rumah tinggi.

“Bagaimanapun, saya tetap berwaspada terhadap gelombang banjir yang lebih besar kerana biarpun tidak masuk ke dalam rumah, air naik tinggi hampir 2.1 meter,” katanya di sini semalam.

Norhasnah berkata, sejak banjir melanda kampung itu bermula 19 Disember lalu, dia tidak dapat tidur lena selagi belum memasuki tahun baharu 2022.

“Setiap malam, memang makcik tak tidur lena, resah memikirkan keadaan banjir. Makcik bimbang gelombang yang lebih buruk akan berlaku selepas ini.

“Memang sekarang air tidak masuk ke dalam rumah, tetapi, dengan ketinggian air yang hampir 2.1 meter, makcik bimbang ia akan naik lebih tinggi lagi selepas ini.

“Harap-harap ia tidak berlaku dan selagi belum habis bulan Disember ini, memang makcik tidak boleh tidur lena,” katanya.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan atau tahap buruk membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan sehingga 1 Januari 2022.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan atau tahap waspada bagi kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, Lipis dan Rompin sehingga Sabtu depan.

Amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan, ribut petir sedang dan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh enam. jam.

Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan, ribut petir sedang dan dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya