SEREMBAN: Tindakan tidak membenarkan isu berkenaan situasi banjir yang berlaku ketika ini untuk dibahaskan di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Parlimen merupakan sesuatu yang sangat tidak sensitif dan pengabaian tanggungjawab yang serius.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Parlimen merupakan medan untuk semua hal negara dan rakyat dibincang serta didebatkan dan bukannya sebuah institusi pegun yang hanya berfungsi mengikut agenda mesyuarat rutin.
Sehubungan itu katanya, Parlimen mestilah menjadi tempat paling penting untuk krisis yang melanda negara dirungkai dan dibincangkan oleh semua wakil rakyat.
“Ia juga tempat di mana kerajaan seharusnya menjelaskan segala tindakan, dalam kuasanya untuk menangani segala krisis yang timbul.
“Akauntabiliti kerajaan bukan untuk dijelaskan dalam sidang akhbar, ia mesti dilakukan di Parlimen sesuai dengan status dan peranan Parlimen itu.
“Menafikan usul tergempar di Parlimen bagi membahaskan kemaslahatan nasional paling mendesak dan paling meruncing, pada saat paling genting dan paling perlu, adalah tindakan sangat tidak sensitif, unparliamentary dan pengabaian tanggungjawab yang serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, tiada agenda lebih besar dan utama daripada krisis banjir luar biasa yang melanda negara baru-baru ini.
“Tiada aturan mesyuarat yang boleh mengatasi kepentingan rakyat kebanyakan yang kehilangan harta benda, nyawa dan memerlukan segala usaha penyelamatan yang segera.
“Tiada siapa yang lebih besar di Parlimen selain rakyat dan kepentingan mereka. Parlimen Malaysia mesti menjadi Parlimen kelas pertama dan bukan menjadi institusi biasa-biasa,” katanya.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun tidak membenarkan beberapa ahli Parlimen blok pembangkang dan kerajaan untuk membahaskan isu berhubung situasi banjir yang melanda negara ketika ini.
Menurut Azhar Azizan, perkara itu tidak boleh dibahaskan memandangkan ia tidak terkandung dalam aturan urusan mesyuarat sidang Dewan Rakyat, semalam.