ALOR GAJAH: Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memaklumkan, program Melaka Countdown Concert yang sepatutnya berlangsung malam ini di Dataran Keris di sini sempena malam Tahun Baharu 2022, dibatalkan.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata, konsert yang membariskan artis popular tahniah air seperti Zamani Slam, Ezad Lazim dan Ayu Damit berkenaan telah diarah batal sejak dua minggu lalu iaitu pada 18 Disember.
Jelasnya, konsert tersebut merupakan anjuran Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka.
“MPAG tidak meluluskan penggunaan dataran untuk penganjuran konsert ini memandangkan kepada situasi semasa pandemik Covid-19.
“Selain itu, permohonan asal adalah untuk menganjurkan festival makanan berbentuk penjualan makanan dan tidak dinyatakan adanya sebarang program berbentuk konsert seperti yang dipromosikan melalui kain rentang dan media sosial,” katanya.
Tambahnya, pihaknya hanya membenarkan penggunaan Dataran Keris untuk penganjuran program Melaka Food Fiesta 2022.