KOTA KINABALU: Tiada sebarang gerakan menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikesan di Sabah.
Ketua Bahagian UMNO Penampang, Datuk Mohd. Hasnol Ayub berkata, berita sebegitu mungkin sekadar khabar angin yang cuba menggugat kedudukan UMNO yang kini berada pada landasan yang cukup kuat.
“Apa-apa pun UMNO Bahagian Penampang dan peringkat negeri menyokong kepimpinan Presiden UMNO yang diberi tanggungjawab mengangkat UMNO dan dia adalah lambang institusi parti.
“Apa juga keputusan dibuat di peringkat pusat dan negeri, kita akan angkat dan laksanakan di peringkat akar bumi,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Bahagian Penampang hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah merangkap Ketua Wanita Bahagian Penampang, Senator Noraini Idris.
Menurutnya, beliau juga senada dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemilihan Presiden UMNO adalah dua perkara berbeza.
Mohd. Hasnol berkata, lantikan Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri tidak membawa sebarang percanggahan dari segi bidang kuasa di dalam parti mahupun kerajaan.
“Tidak adil untuk kita membuat andaian dan menjadikan ini sebagai satu isu. Bagi saya, kedua-dua perkara ini boleh diasingkan dengan cara terbaik.
“Sudah tentu belum ada sejarah Perdana Menteri bukan datang dari Presiden parti namun, kita harus melihat kepada gambaran yang lebih besar,” katanya.
Jelas beliau, perkara sebegitu bukan satu kekangan dan boleh dibuat di dunia ini kerana dunia berkitar sangat dimanik. Untuk bersama rakyat dan mendengar hasrat rakyat, UMNO perlu bersikap lebih dinamik.
“Justeru, dari masa ke semasa kita perlu melihat apa yang kita perlu buat untuk memenuhi citarasa orang lain yang kita pimpin” katanya.
Dalam pada itu, UMNO Penampang turut meluluskan usul memberi sokongan penuh kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri untuk menerajui tampuk pemerintahan negara.
Mengulas lanjut katanya, UMNO Penampang juga tidak berhasrat untuk bertanding di Parlimen itu sebaliknya akan memberi sokongan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Abdul Rahman berkata, isu menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan pemilihan Presiden UMNO yang bakal diadakan nanti adalah dua perkara berbeza namun, semua orang dalam UMNO menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.- UTUSAN ONLINE