SHAH ALAM : Ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan pintu air yang berperanan sebagai struktur kawalan aliran bagi saliran utama Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini tidak dapat berfungsi dengan sempurna.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, struktur pintu air itu mempunyai tiga pintu pintu yang berfungsi secara automasi dan pengoperasian bergantung kepada bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, jika pintu air mempunyai bekalan elektrik, maka pintu air mudah dibuka dengan sempurna.
“Namun ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan pintu air perlu dibuka secara manual dengan mengambil keadaan risiko pintu air akan rosak dan gagal berfungsi jika shaft besi kawalan pintu air bengkok atau berpintal,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Taman Sri Muda adalah antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir yang berlaku bermula Jumaat lalu. Malah, sehingga hari ini, paras air di kawasan itu masih belum surut berbanding kawasan terjejas yang terletak berhampiran dengannya.
Mengulas lanjut, Izham memberitahu, disebabkan keadaan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bertindak meneruskan pengepaman air dari saliran utama sehingga aras yang seimbang bagi mengurangkan tekanan kepada pintu air.
Ujarnya, pengepaman air banjir di pintu air menggunakan empat unit pam bergerak dengan jumlah kapasiti 960 liter per saat dan ia membantu situasi pintu air serta menurunkan aras banjir di Taman Sri Muda.
“Hari ini, pintu air telah dibuka untuk mengeluarkan air banjir dari Taman Sri Muda dengan keadaan pintu air 1 kekal ditutup bagi tujuan operasi pam manakala pintu air nombor dua dan tiga telah dibuka sebanyak 0.5 meter,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Izham berkata, aras banjir juga telah memberi kesan kepada rumah pam kekal di Kolam Takungan Banjir Taman Sri Muda untuk berfungsi menyalurkan air banjir.
Tambahnya, pencawang elektrik TNB yang tenggelam semasa banjir menyebabkan empat unit pam berkapasiti 2,000 liter per saat telah dihenti tugas akibat ketiadaan bekalan elektrik.
Jelasnya, pengoperasian empat unit pam bergerak di pintu air Persiaran Budiman telah menurunkan aras banjir di Taman Sri Muda.
“Oleh itu, genset bergerak TNB telah dibawa masuk ke rumah pam Kolam Takungan Banjir Taman Sri Muda pada pukul 4 pagi tadi setelah pengalihan kenderaan mangsa banjir di sepanjang jalan.
“Rumah pam dijangka beroperasi pada hari ini tertakluk kepada proses pengoperasian dan pembaikan komponen mekanikal dan elektrikal rumah pam,” katanya. – UTUSAN ONLINE