Tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Lentang - JPNP - Utusan Malaysia

Tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Lentang – JPNP

PENGARAH Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Mohd. Hizamri Mohd. Yasin (dua dari kiri) mendengar penerangan mengenai timbunan kayu yang terkumpul akibat banjir ketika melawat ke kawasanTelemong di Karak. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semakan di Jalan Bentong – Karak berhampiran Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong dekat sini mendapati, sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan adalah debris daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember lalu.

Hasil semakan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mendapati, berlaku kejadian kepala air di dua lokasi itu yang bermula di Hutan Simpan Lentang akibat hujan lebat yang berterusan selama tiga hari bermula 16 Disember lalu hingga hari kejadian banjir besar di Bentong. 

Ia disokong dengan data taburan hujan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bentong yang mencatatkan bacaan purata 155 milimeter (mm) pada 18 Disember lalu yang mana bacaan hujan itu dikategorikan sebagai sangat lebat.

JPNP dalam kenyataannya memaklumkan, semakan di dua lokasi terbabit mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan adalah sisa debris daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul. 

Kata kenyataan itu, JPNP turut membuat semakan melalui udara menggunakan dron dan mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada dalam Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik di kedua-dua lokasi terbabit.

“JPNP juga mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah mahupun haram seperti mana yang ditularkan oleh orang awam melalui media sosial.

“Dari segi rekod, Hutan Simpan Lentang yang terlibat dengan insiden ini telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air semenjak 2002 di mana aktiviti pembalakan adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam kawasan ini. 

“Tambahan dari itu, seluas 30 hektar kawasan Hutan Simpan Lentang di Sungai Kerau telah dijadikan sebagai petak High Conservation Value Forest (HCVF) semenjak 2012. HCVF merupakan kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan JPNP lagi, semakan udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit dalam Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik yang membawa sisa debris terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul akibat arus air yang sangat kuat menghentam di sepanjang laluan sungai-sungai tersebut.

“Semakan lapangan turut membuat penemuan pelbagai sisa batang pokok serta kayu yang terdiri daripada pelbagai spesies, di antaranya pokok hutan, durian, getah mahupun kelapa sawit, yang memberikan gambaran bahawa arus air sungai yang deras turut membawa debris dari kawasan luar Hutan Simpan Lentang.

“Semakan lanjut mendapati sisa-sisa pokok dan kayu yang bertaburan di atas jalan raya Bentong-Karak ini didapati telah dialihkan ke kawasan rizab jalan berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak oleh kontraktor yang dilantik oleh ANIH Berhad untuk kerja pembersihan jalan.

“Selain itu, di Jambatan Sri Telemong, bukti kejadian kepala air ini turut disokong melalui saksi kejadian iaitu pengusaha Resort Shilinmen Karak dan penduduk kampung Sri Telemong yang melihat sendiri kejadian kepala air yang membawa bersama lumpur dan sisa kayu setinggi bangunan dua tingkat,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, JPNP turut mengesahkan kejadian kepala air di dua lokasi yang dinyatakan di atas tiada kena mengena sama sekali dengan aktiviti pembalakan di tanah kerajaan Sungai Gapoi seperti mana yang ditularkan, kerana jarak kawasan itu adalah sejauh 16 kilometer daripada Jambatan Sri Telemong dan 23 kilometer daripada jalan Bentong-Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak.

“Tinjauan dilokasi pada hari ini mendapati air Sungai Gapoi adalah jernih dan tiada kesan kepala air. Fenomena yang berlaku di Hutan Simpan Lentang ini hampir sama seperti apa yang berlaku di Hutan Simpan Gunung Jerai, Kedah pada bulan Ogos lalu.

“JPNP akan mengambil tindakan lanjut untuk memastikan sisa kayu di sungai-sungai ini dialihkan segera dan akan dilupuskan mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

“Tinjauan lanjut melalui helikopter juga akan dilaksanakan pada awal Januari 2022 bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai isu dan lokasi kejadian kepala air di dalam Hutan Simpan Lentang,” kata kenyataan itu.

JPNP mencadangkan supaya kawasan tanah kerajaan yang tidak diusahakan, yang bersempadan dengan Hutan Simpan Lentang di sungai-sungai tersebut  khususnya di kawasan yang telah berlaku bencana dan di sekitarnya diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah Seksyen 10 APN 1984, agar kerja-kerja pemulihan seperti penghutanan semula dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seperti ini tidak berlaku pada masa hadapan.

“JPNP menyarankan agar dilaksanakan penguatkuasaan pematuhan zon penampan sungai di sepanjang sungai yang dibangunkan oleh agensi, syarikat atau orang awam bagi mengelakkan berlakunya hakisan yang lebih serius di masa hadapan,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya