PUTRAJAYA: Bilangan ternakan ayam sepanjang tahun ini menyaksikan lonjakan besar apabila merekodkan sejumlah 302,778,668 ekor berbanding 293,495,861 ekor pada 2020.
Demikian unjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menerusi laporan perangkaan terkini diterbitkan minggu lepas dengan Johor masih kekal pengeluar terbesar di negara ini dengan merekodkan sejumlah 64,365,326 ekor ternakan unggas berkenaan manakala pada tahun lalu hanya 62,132,805 ekor diusahakan.
Sementara itik pula mencatatkan peningkatan signifikan dengan anggaran 9,678,749 ekor diternak pada tahun ini daripada sebanyak 9,511,085 ekor sepanjang tahun lepas yang menyaksikan Perak muncul sebagai negeri pengeluar utama burung tersebut dengan unjuran 7,120,219 ekor sepanjang tahun ini berbanding cuma 6,972,200 ekor yang diternak pada tahun lalu.
DVS turut merekodkan senario sama untuk ternakan lembu di seluruh negara yang bertambah kepada anggaran 701,117 ekor daripada sebanyak 699,424 ekor pada sepanjang 2020 yang mana Pahang masih mengekalkan penguasaan penternakan haiwan itu dengan sejumlah 155,686 ekor untuk rekod anggaran tahun ini berbanding tahun lalu cuma 154,147 ekor.
Usaha ternakan kambing pula juga ada peningkatan sedikit untuk tahun ini dengan anggaran sebanyak 328,944 ekor daripada 324,355 ekor direkodkan DVS sepanjang tahun lalu apabila Kedah seperti biasa terus mendominasi penternakan ruminan tersebut dengan pihak DVS menganggarkan 51,178 ekor tahun ini berbanding pada tahun lepas 50,085 ekor sahaja.
Bagaimanapun, agensi berkenaan melaporkan unjuran penurunan ternakan khinzir pada tahun ini iaitu cuma 1,857838 ekor daripada 1,869,772 ekor untuk tahun lepas. – UTUSAN ONLINE