PETALING JAYA : Sikap terlalu ambil mudah fenomena bencana alam sehingga ada yang menyifatkannya berlaku kerana semata-mata perubahan iklim menyebabkan kerajaan dan masyarakat alpa sehingga gagal menduga banjir seperti mana berlaku di lapan negeri sejak kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, semua pihak dilihat kurang mengenali fenomena iklim apabila statistik sedia ada hanya digunakan sekadar untuk bahan bacaan sahaja, sebaliknya tidak membuat perancangan susulan.
Beliau menjelaskan, walaupun perubahan iklim berlaku tanpa disedari, sebaliknya kesannya dapat dilihat dengan mata kasar dalam kehidupan seharian termasuklah kejadian banjir.
“Orang ramai tidak menduga banjir besar akan berlaku di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Klang sebab ada yang kata, sejak 40 tahun tinggal tidak pernah berlaku banjir. Hal ini kerana apabila ada yang ambil jalan mudah iaitu dengan mengatakan semua akibat perubahan iklim.
“Masyarakat kita kurang mengenali fenomena iklim apabila statistik yang ada sekadar untuk memahaminya, sedangkan lebih lama statistik di kumpul, patutnya lebih baik pemahaman kita,” katanya.
Sehingga semalam, lebih 20,000 rakyat menjadi mangsa banjir ekoran Lekukan Tropika membadai selatan Filipina apabila fenomena berkenaan mengukuhkan angin timur laut bertiup ke kawasan Semenanjung Malaysia dengan membawa lembapan tinggi di kawasan pantai timur dan menentasi Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, Ibrahim kemudian menjelaskan soalnya kini bukanlah pengurusan risiko banjir, sebaliknya beberapa isu asas seperti perancangan guna tanah apabila kurang pertimbangan terhadap kelulusan dan syarat pembinaan di kawasan dataran banjir serta sudah dibangunkan, langkah susulan perlu untuk mengurangkan risiko bencana itu berlaku.
Beliau menjelaskan banjir adalah fenomena alam biasa apabila air melimpah dari alur sungai ketika hujan lebat akhirnya menjadi bencana dan berlaku kematian atau kerosakan harta benda.
“Namun cara terbaik adalah hidup bersama alam dan meminimumkan bencana ialah dengan mempelajari kelakuan alam termasuk fenomena banjir dan membuat rumah di kawasan berisiko rendah.
“Sekiranya sudah dilaksanakan, rancanglah pembaharuan bandar dengan pemindahan berkala dari kawasan berisiko tinggi kepada kawasan berisiko rendah. Namun jika sanggup menghadapi risiko, gunakan inovasi dan kejuruteraan bagi berhadapan risiko bencana,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan lagi mewujudkan sistem amaran banjir apabila perkara itu sudah menjadi keperluan utama pada masa kini.
Jelasnya, kegagalan menyampaikan mesej amaran lebih awal akan menyebabkan masalah besar yang bukan sahaja aspek kerugian tetapi boleh meragut nyawa manusia.
“Sistem amaran ini berfungsi memberikan mesej kepada penduduk supaya segera berpindah ke tempat lebih selamat sekiranya berlaku banjir dengan lebih awal. Malah mereka pihak perniagaan boleh membuat persiapan awal untuk memindahkan barangan mereka.
“Tetapi kegagalan mewujudkan mesej ini, akan mendatangkan impak lebih buruk apabila sudah berlaku banjir, barulah kita hendak memindahkan rakyat sedangkan perkara ini boleh dilakukan dengan lebih awal,” katanya. -UTUSAN ONLINE