KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan hospital yang baru pulang dari kerja terkedu melihat rumahnya musnah dalam kebakaran lapan unit kediaman Flat Sri Johor dekat sini malam tadi.
Thialai Mary, 37, berkata, dia dimaklumkan berhubung insiden terbabit kira-kira pukul 9.40 malam dan terus bergegas pulang ke rumah.
Katanya, ketika kejadian, terdapat beberapa ahli keluarga yang berada di rumah namun berjaya menyelamatkan diri.
“Apabila tiba, saya terkedu melihat rumah telah hangus terbakar dan terus mencari ahli keluarga lain.
“Ini kebakaran pertama berlaku sejak saya tinggal di sini hampir 17 tahun lalu,” katanya ditemui pemberita malam tadi.
Menurutnya, akibat kejadian itu, wang simpanan kira-kira RM40,000 tunai hangus malah barangan kemas dan dokumen penting musnah terbakar. – UTUSAN ONLINE