TAMPIN: “Jika tiada anggota bomba datang menyelamat, tidak tahu bagaimana anak-anak hendak meredah air banjir paras pinggang untuk keluarkan saya.”
Demikian luahan warga emas, Arduna Taib, 60, antara mangsa banjir di Kampung Keru Hilir, di sini, yang diselamatkan anggota bomba dan polis pada malam 17 Disember lalu.
Arduna yang berkerusi roda sejak tiga tahun lalu kerana mengalami sakit urat saraf diusung keluar dari rumah lebih 50 meter oleh empat pegawai dan anggota bomba dan polis dalam kejadian itu.
Anak ketiganya, Ria Amala Hilman, 36, berkata, kejadian berlaku sekitar hampir pukul 10 malam ketika dia dan suaminya, Mohammad Noor Mohammad Som, 36, berada di rumah serta mulai bimbang apabila air dari sungai berhampiran melimpah.
“Masa tu kami minta bantuan ahli keluarga lain untuk menghubungi pasuakan bomba kerana tidak boleh meredah air hampir satu meter di luar rumah. Emak sudah tidak boleh berjalan, lututnya lemah dan perlu ditolak menggunakan kerusi roda.
“Nasib baik ada pasukan bomba dan polis yang segera menyelamatkan kami. Syukur sangat dan ini adalah kali kedua dalam tempoh sebulan, pasukan penyelamat mengusung emak kami keluar disebabkan kejadian banjir kilat,” katanya ketika ditemui di Kampung Keru Hilir, di sini, hari ini.
Yang hadir sama dua pegawai bomba yang membantu mengusung mangsa, Pegawai Bomba Kanan 2, Norhisham Mohd. dan Pegawai Bomba, Muhammad Syafiq Samsuddin.
Dalam kejadian banjir tersebut, seramai 42 penduduk sekitar kampung tersebut diselamatkan susulan air banjir naik separas 0.3 meter hingga lebih 1 meter.
Ria Amala dalam pada itu berkata, dia terkejut apabila kejadian banjir turut berlaku di kawasan lain termasuk di kawasan Lembah Klang.
Lebih mengejutkannya, katanya, selepas membaca di media sosial terdapat pihak yang mempersoal kelewatan pasukan penyelamat tiba bagi memindahkan mangsa.
“Saya harap mangsa banjir dapat bersabar dan mendoakan yang terbaik agar misi menyelamat berjalan lancar. Mungkin waktu kejadian, mangsa banjir di kawasan berkenaan terlalu ramai dan menyukarkan pasukan penyelamat untuk tiba ke lokasi dengan cepat.
“Bagaimanapun kami sekeluarga tidak berdepan dengan masalah berkenaan kerana bantuan tiba cepat dan kami pun dapat berpindah ke kawasan yang lebih selamat sementara menunggu air banjir surut,” katanya. – UTUSAN ONLINE