KUALA TERENGGANU: Benteng pertahanan Terengganu FC bakal dikemudi bek tengah kelahiran Senegal, Pape Diakite, 28, yang menandatangani kontrak setahun bersama pasukan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab. Rasid Jusoh berkata, kehadiran Diakite akan mengisi kekosongan ditinggalkan Carli De Murga yang digugurkan daripada posisi.
Katanya, pemain berketinggian 1.94 meter itu berpengalaman dalam Piala AFC di samping menyertai aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia bersama Ho Chi Minh FC tahun lalu.
“Diharao Diakite dapat memberi impak dan membantu pasukan membaiki pencapaian tangga keempat Liga Super serta separuh akhir Piala Malaysia,” katanya di sini kelmarin.
Selasa lalu, Terengganu FC turut mengumumkan kemasukan bekas ketua pasukan skuad B-22 negara, Adib Zainudin, 26, dengan kontrak dua tahun bagi memperkuatkan pertahanan Sang Penyu.