JELEBU: Susulan kejadian sebuah jambatan besi di Kampung Bemban, di Simpang Durian di sini yang runtuh sekali gus memutuskan hubungan ke kampung tersebut baru-baru ini, Tentera Darat menerusi Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 3 Divisyen diatur gerak bagi membina sebuah jambatan menggunakan jambatan Compact Bailey Single Lane (CB200).
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memasklumkan, kerosakan jambatan tersebut menyebabkan penduduk setempat yang melibatkan 28 buah rumah terputus hubungan dan menyukarkan bantuan disalurkan.
“Tentera Darat melalui Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 3 Divisyen diatur gerakkan untuk membina jambatan tersebut menggunakan jambatan Compact Bailey Single Lane (CB200). Kerja-kerja pembinaan jambatan akan mula dilaksanakan setelah proses menambak tebing selesai dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan,” kata kenyataan itu hari ini.
Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Mejar Jen. Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim turut turun padang meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan sementara tersebut.Yang turut hadir dalam tinjauan tersebut ialah Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Brig. Jen. Mohd. Saifulisham Baharuddin dan Komander Rejimen Jurutera, Kol. Hanapiah Harun, – UTUSAN ONLINE