Tembok sepanjang 90 meter runtuh di kawasan penduduk - Utusan Malaysia

Tembok sepanjang 90 meter runtuh di kawasan penduduk

RAHMAD Mariman (kanan) meninjau tembok bukit berhampiran Taman Perumahan Belimbing Setia, Alor Gajah, Melaka yang menempatkan kira-kira 1,500 penduduk runtuh susulan cuaca hujan. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tembok bukit berhampiran Taman Perumahan Belimbing Setia yang menempatkan kira-kira 1,500 penduduk di sini runtuh susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.

Seorang penduduk, Fauzi Ramli, 49, meluahkan rasa bimbang dengan kejadian tersebut yang didakwa berlaku dalam masa dua hari berturut-turut membabitkan tembok bukit sepanjang 90 meter.

“Kelmarin tembok bukit ini runtuh sepanjang 40 meter dan mengejutkan penduduk di taman perumahan ini kerana lokasinya tidak jauh dari kediaman kami.

“Semalam runtuh lagi sepanjang 50 meter. Kami takut batu tembok ini terus runtuh sepenuhnya dan menimpa penduduk yang menggunakan laluan tersebut atau kenderaan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dia yang telah menetap di kawasan itu selama sembilan tahun memberitahu, kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang menyebabkan struktur tanah menjadi aktif.

Turut hadir di lokasi memeriksa kejadian tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Rahmad berkata, kejadian tanah runtuh tersebut adalah yang pertama kali berlaku di Melaka dan pihaknya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan laporan berhubung bencana itu sebelum langkah membina semula tembok diambil.

“Dimaklumkan tembok ini telah berusia 15 tahun dan kejadian berlaku disebabkan faktor cuaca hujan lebat pada ketika ini.

“Saya telah minta laporan insiden ini dilengkapkan segera dan penilaian dibuat pada seminggu ini bagi membolehkan tembok bukit ini dibina semula dalam keadaan lebih kukuh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya