PUTRAJAYA: Berikutan banyak kes kecurian kereta mangsa banjir oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, satu pasukan khas telah mula pun dibentuk Kementerian Dalam Negeri.
Menurut menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kumpulan itu dikenali sebagai Team Cantas dan akan bergerak ke seluruh negara terutamanya kawasan yang teruk dilanda banjir.
“Selepas bincang dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryll Sani Abdullah Sani) tadi, kita setuju hantar pasukan terus ke lokasi di sana,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara wajib pada Sabtu ini.
Ini disusuli dengan majlis penyerahan sumbangan kepada kepada 32 kakitangan ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri yang terjejas akibat banjir dan turut disampaikan beliau sendiri.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan. Mengulas lanjut, Hamzah berkata, beliau kesal ada mengambil kesempatan atas kesusahan mangsa.
“Justeru, saya bersetuju agar pasukan khas ini segera dihantar pihak polis ke kawasan yang teruk dilanda banjir buruk minggu lalu bagi tahan terus pencuri kenderaan terbabit,” jelasnya
Langkah agresif itu ujarnya susulan ada laporan bahawa pencuri terbabit bijak berselindung dengan menggunakan trak penunda yang konon mahu membawa kereta rosak ke bengkel.
Modus operandi pihak terbabit bagaimanapun berjaya ‘dihidu’ pihak polis berdasarkan gerak geri individu terlibat agak mencurigakan dengan sasaran kenderaan yang dibiarkan mangsa.
Bahkan jelas Hamzah, ada penduduk membuat laporan polis setelah menyedari kereta yang rosak itu hilang ditunda oleh trak terbabit tanpa pengetahuan si pemilik kenderaan sendiri.
“Saya ingin memberi amaran tegas, kalau pasukan kita dapat tahu dan terjumpa, memang akan ditangkap terus untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya sambil memberi jaminan.
Ditanya kes kecurian terhadap pasar raya tertentu oleh warga asing, beliau berkata terpulang kepada si pemiliknya untuk membuat laporan polis atau ‘menghalalkan’ mereka yang terlibat.
Bagaimanapun secara peribadi, beliau berpendapat, dalam kes tertentu mungkin tuan punya kedai itu boleh ‘reda’ jika yang dicuri itu barang makanan asas oleh penduduk miskin terdesak.
Sebaliknya ujarnya, kalau benda dicuri tersebut bukan pun keperluan harian seperti aksesori telefon pintar dan peranti elektronik yang mahal, perbuatan itu memang tidak boleh dimaafkan.
Sehubungan itu, polis tidak berkompromi terhadap individu yang menjarah premis perniagaan dan akan menahan individu terbabit berdasarkan bahan bukti rakaman kamera litar tertutup.
“Macam kes bos Mydin yang pasrah premisnya di Shah Alam dipecah masuk warga asing, polis tetap akan tangkap sebab ada ambil kesempatan curi barang mahal tertentu,” katanya. – UTUSAN ONLINE