Tapis peserta MM2H hanya benar-benar berkualiti - Utusan Malaysia

Tapis peserta MM2H hanya benar-benar berkualiti

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia tidak mempunyai sasaran jumlah peserta baharu yang diterima di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), sebaliknya memastikan mereka dibenarkan memasuki negara ini adalah benar-benar berkualiti tinggi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, program berkenaan dilihat semula agar setiap peserta di bawah program itu yang diterima bertujuan sama-sama memajukan negara.

“Dahulu mereka (peserta MM2H) yang ada ini dengan pendapatan hanya RM2,000 tetapi pinjam duit sana sini, dengan hanya ada RM250,000 boleh duduk Malaysia sampai 10 hingga 15 tahun.

“Kita tidak mahu itu, kita mahu mereka berkualiti kerana negara kita memberikan banyak subsidi, jadi kalau orang nak duduk negara kita ini sebenarnya tak perlukan subsidi, dia hanya perlu bersama kita memajukan negara,” katanya dalam perbahasan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan  Ahli Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya berhubung program MM2H itu adakah kerajaan mempunyai sasaran tertentu untuk menerima peserta luar negara. 

Sebelum ini, Hamzah memberitahu, peserta baharu program MM2H perlu mematuhi dasar baharu bagi memastikan hanya yang berkualiti dan sah serta memberi sumbangan pertumbuhan ekonomi dibenarkan menetap di negara ini.

Namun, kata beliau, kerajaan sedia mempertimbang memberi kelonggaran kepada peserta MM2H sedia ada dari syarat dan dasar yang ditetapkan sebelum ini termasuk keperluan pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta.

Selain itu, jelas Hamzah, pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak selain perlu membuat pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta dan pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan serta lain-lain keperluan syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut bertitah, kerajaan perlu menyegerakan semakan semula syarat ketat program berkenaan yang ditetapkan baru-baru memandangkan Johor merupakan antara destinasi utama pelaburan asing, selain negeri itu juga antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

“Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah, Program MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri. 

“Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya