SEPANG: Keputusan kerajaan menangguhkan sementara peralihan ke fasa endemik ekoran penularan varian baharu Covid-19, Omicron tidak menjejaskan sektor pengangkutan negara.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan mempunyai strategi untuk memasuki fasa endemik dan pada masa sama Kementerian Kesihatan akan membuat pemerhatian dan penilaian mengenai situasi dalam negara.
Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini kementeriannya akur dengan keputusan Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 itu.
“Semalam saya pun hadir (mesyuarat itu). Cuma untuk lihat ke arah endemik ini memang ada strateginya, saya rasa itu tidak menjadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan penangguhan ke fasa endemik dibuat kerana Omicron sedang menular di seluruh dunia dan varian tersebut lebih berisiko kerana ia boleh merebak dengan lebih mudah dan pantas.
Kata beliau, semua ahli mesyuarat Kuartet sudah diberi taklimat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai tindakan segera dan pendekatan Kementerian Kesihatan walaupun tiada kes varian itu dilaporkan di negara ini.
Varian Omicron dilaporkan sudah ditemukan di beberapa negara termasuk Australia, Belgium, Botswana, Britain, Denmark, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Belanda, Perancis, Kanada dan Afrika Selatan.