ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan komuniti setempat menanam cita rasa dan keinginan sukakan keindahan.
Baginda bertitah, rasa cinta dan menghargai keindahan perlu tersemat di hati serta menjadi budaya dalam kalangan ahli komuniti.
Titah baginda, hal demikian secara tidak langsung akan mendorong ahli-ahli komuniti menyukai persekitaran bersih dan alam sekitar turut sama dihargai dan dijaga.
“Contoh terdekat adalah Projek Diraja Transformasi Kampung Berwarna-Warni di Seberang Ramai Kuala Perlis, di mana suatu ketika dulu lokasi tersebut merupakan sebuah kawasan penempatan yang ‘kusam’ tanpa warna dan tanpa jiwa.
“Namun hari ini, alhamdulillah ia menjadi sebuah penempatan yang semakin indah, kaya dengan kreativiti, penuh warna dan tanpa kita sedari ia telah menggerakkan sikap penghuninya untuk turut berubah dan menjadi penghuni yang sangat peduli tentang aspek kebersihan serta keindahan persekitaran,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan projek peningkatan sosio ekonomi asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersempena Program Kayuhan MAIPs Peduli Khas Covid Ke-57 2021 di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambun Tulang, di sini hari ini.
Projek peningkatan sosio ekonomi asnaf MAIPs itu merupakan bengkel bahulu yang diusahakan oleh Hasama Yahaya, 67.
MAIPs menyumbangkan peralatan oven bernilai RM2,600 kepada Hasama yang mula beroperasi sejak 2019.
Terdahulu baginda turut berkenan menyantuni dan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga keluarga asnaf terpilih iaitu Yatim Pin, 78; Muhammad Shukre Senawi, 47, dan Bashah Arif, 67, yang terlantar sakit dengan masing-masing menerima RM700. – UTUSAN