Tanah runtuh: Lima laluan di Negeri Sembilan masih ditutup - Utusan Malaysia

Tanah runtuh: Lima laluan di Negeri Sembilan masih ditutup

KERJA-KERJA pembersihan dan pembaikan masih dijalankan di beberapa lokasi kejadian tanah runtuh sepanjang jalan di Bukit Tangga, Jelebu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak lima laluan di Negeri Sembilan masih lagi ditutup untuk dilalui kenderaan akibat kejadian cerun dan tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Ir. Wan Hasnan Wan Musa berkata, empat laluan tersebut terletak di daerah Jelebu manakala satu laluan lagi di daerah Seremban.

“Setakat pukul 9 pagi tadi, lima lokasi laluan masih lagi ditutup untuk dilalui kenderaan akibat kejadian cerun dan tanah runtuh.

“Laluan tersebut adalah di Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jalan Felda Titi dan Pocket Road FT086 di Jeram Toi, kesemuanya di Jelebu.

“Di Seremban, jalan yang masih ditutup adalah di laluan ke Stesen Pemancar Gelombang Mikro Gunung Telapak Buruk,” katanya hari ini.

Sementara itu, menurut beliau, kerja-kerja pembersihan akibat cerun dan tanah runtuh masih berjalan termasuk di lokasi berlaku kejadian serupa sebelum ini namun telah dibuka untuk laluan kenderaan.

“Kerja-kerja pembersihan sedang berjalan dan di laluan yang ditutup hanya pekerja sahaja yang dibenarkan masuk kerana keadaan di tapak mesih berbahaya.

“Laluan ke Gunung Telapak Buruk pula, kerja-kerja pembersihan turut giat dijalankan termasuk dengan mendapat bantuan daripada pihak Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Hasnan berkata, sejak 18 Disember lalu, sebanyak 21 lokasi jalan di negeri ini dilaporkan terhalang susulan berlakunya kejadian banjir dan tanah runtuh.

Kesemua lokasi tersebut melibatkan 15 buah jalan Persekutuan manakala enam lagi adalah jalan negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya