SEREMBAN: Sebanyak 18 lokasi jalan di negeri ini dilaporkan terhalang susulan berlakunya kejadian banjir dan tanah runtuh sejak 18 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Ir. Wan Hasnan Wan Musa berkata, kesemua lokasi tersebut melibatkan 14 buah jalan Persekutuan manakala bakinya adalah jalan negeri.
Bagaimanapun tambah beliau, 14 buah laluan telahpun dibuka untuk dilalui oleh pengguna manakala empat buah jalan lagi masih dalam usaha pembaikan.
“Setakat pukul 8 pagi tadi, empat lokasi laluan masih lagi ditutup untuk dilalui kenderaan akibat kejadian cerun dan tanah runtuh.
“Lokasi tersebut antaranya di Jalan N32 Genting Peras, Jelebu bersempadan di antara Selangor dan Negeri Sembilan dan laluan di Jeram Toi juga di Jelebu serta laluan di Gunung Berembun, Pantai, Seremban,” katanya hari ini.
Tambah beliau, pihak JKR turut mengesan banyak runtuhan kecil yang berlaku dan tindakan segera telah diambil bagi memastikan jalan berkenaan boleh dilalui.
“Pihak JKR Negeri Sembilan telah menggerakkan semua sumber jabatan yang ada di samping dibantu oleh agensi-agensi lain.
“Kepada orang ramai, kami nasihatkan mereka agar dapat mengatur perjalanan terutama pada laluan yang berisiko selain mengelak perjalanan pada waktu malam dan hujan,” katanya.