Tanah Lot 41: PAC ragu BNM ditekan kerajaan - Utusan Malaysia

Tanah Lot 41: PAC ragu BNM ditekan kerajaan

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meragui sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) menghadapi tekanan daripada kerajaan dalam membuat keputusan dalam pembelian sebidang tanah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2017.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, perkara itu antara hasil rumusan prosiding yang diadakan pada 20 September lalu melibatkan Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), Patimah Ramuji; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus sebagai saksi. 

Beliau berkata, BNM didapati tidak melaksanakan ketekunan wajar secukupnya melibatkan perolehan tanah dengan butiran geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) itu dengan Kementerian Kewangan (MOF).

“Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli Tanah Lot 41 dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF (15 Ogos 2017) dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan oleh MOF (21 Ogos 2017). 

“Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat iaitu empat bulan. BNM juga tidak pernah merancang untuk membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh MOF. 

“Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Tanah Lot 41 menjadi isu apabila sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan dibentangkan di Parlimen pada 10 Disember 2020.

Memperincikan hasil rumusan prosiding, Kah Woh berkata, penjualan Tanah Lot 41 kepada BNM oleh kerajaan melalui Syarikat Tujuan Khas (SPV) Hartanah Mampan Sdn Bhd, dilakukan menerusi dua transaksi, dengan sela tempoh setiap satunya selama 12 hari pada Disember 2017.

“Pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat oleh BNM pada 19 Disember 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Disember 2017 (RM1.035 bilion).

“Hasil jualan itu digunakan untuk tujuan pembayaran menerusi pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Disember 2017,” katanya. 

Tambah beliau, harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan oleh Tetuan Suleiman & Co. juga adalah tinggi. 

“Penilaian JPPH yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah “Tiada”, Syarat Nyata “Tiada” dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1,421,650,000.00. 

“Pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion juga adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah dari “Tiada” kepada “Bangunan” dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Malaysia Space Agency (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu,” katanya.

Sebagai langkah penambahbaikan, Kah Woh berkata, PAC mengutarakan dua syor kepada kerajaan untuk dilaksanakan, iaitu kemampuan BNM untuk membuat keputusan berkait pelaburan dan pembangunannya dengan bebas, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Selain itu, beliau berkata, BNM harus segera menyelesaikan isu penukaran kategori kegunaan tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41.

“Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Perolehan Tanah Lot 41 di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia boleh memuat turun laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN