KANGAR: Berkunjung ke Perlis pastinya tidak lengkap jika tidak mengunjungi Taman Buah-Buahan Eksotik yang dahulunya dikenali sebagai Taman Anggur, antara lokasi tarikan pelancong di negeri ini.
Menariknya, terdapat sembilan jenis varieti anggur di kawasan seluas 0.2 hektar itu sekali gus mengundang keterujaan pengunjung.
Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, bagaimanapun pokok anggur yang ditanam itu adalah untuk tujuan pameran dan pembelajaran buat masa ini.
Katanya, sebelum ini, sekitar 2010 dan 2011, buah berkenaan pernah dikomersialkan dan dijual kepada pengunjung namun lokasi itu ditutup pada 2013.
Jelasnya, apabila dibuka semula pada 2016, tanaman tersebut hanya untuk pameran.
“Jika pengeluaran buah semakin baik, kami tidak menolak kemungkinan akan menjual hasil buah kepada pengunjung yang datang ke sini. Buat masa ini, banyak pokok adalah baharu iaitu sebanyak 80 peratus yang berusia antara lima hingga dua tahun manakala 20 peratus adalah pokok lama yang ditanam sejak 2008.
“Pokok anggur sebenarnya tidak mengambil masa yang lama untuk berbuah. Umur setahun pun sudah boleh berbuah dengan penjagaan yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, antara jenis anggur yang ditanam di taman itu adalah seperti IAC, Isabella, White Malaga, Cardinal, Loose Parlette, Black Queen, dan Pok Dam.
Sementara itu, Hafizuddin memberitahu, Taman Buah-Buahan Eksotik seluas sembilan hektar yang dijenamakan semula tahun ini, terbahagi kepada tiga laman iaitu laman anggur, laman Superfruit dan laman Nadir.
“Antara pokok ‘superfruit’ yang ada di sini adalah gac, delima, markisa, buah naga, buah tin dan zaitun.
“Selain itu, Laman Nadir hasil inisiatif jabatan adalah bagi mengumpul dan melindungi spesies-spesies tumbuhan dan pokok nadir yang hampir pupus agar dapat dikenali oleh generasi akan datang.
“Kami baru sahaja menanam pokok nadir pada tahun lepas dan antaranya adalah pokok mentega, kundang, asam gelugur, kandis, nam nam, keriang dot dan sebagainya,” jelasnya.