Tak sempat ambil gaji, remaja maut kemalangan  - Utusan Malaysia

Tak sempat ambil gaji, remaja maut kemalangan 

ALLAHYARHAM Muhammad Ameerudeen Zulkarnain meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kemalangan di lampu isyarat Air Paabas, Alor Gajah, Melaka. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Hasrat seorang remaja ingin mengambil gaji bulanan di sebuah kilang di sini tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan di lampu isyarat Air Paabas di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Ameerudeen Zulkarnain, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Simpang Ampat. 

“Sebelum kejadian terdapat sebuah lori membawa muatan ayam dari arah sama sedang berhenti mengikut lampu isyarat dan apabila lampu bertukar hijau kenderaan berat itu meneruskan perjalanan. 

“Bagaimanapun, mangsa yang baru sampai di lokasi telah terjatuh daripada motosikal dan bahagian kepalanya terkena tayar belakang sebelah kiri lori berkenaan,” katanya. 

Difahamkan mangsa adalah pekerja kontrak di sebuah kilang automotif dan kemalangan berlaku ketika dia dalam perjalanan untuk mengambil gaji bulanannya. 

Hasan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya