PETALING JAYA: Penyanyi Imran Ajmain menzahirkan kata pujian buat sahabatnya yang juga penyanyi dan usahawan, Datuk Fazley Yaakob yang telah memberikan persembahan terbaik di pentas Gegar vaganza 8 (GV8).
Perkongsian tersebut dikongsikan penyanyi lagu popular Seribu Tahun itu menerusi satu video yang dimuat naiknya di platform Instagram.
Menurut Imran, dia menyifatkan Fazley seorang yang begitu berdedikasi dan bersungguh dalam persediaan untuk persembahan di atas pentas gah itu pada setiap minggu.
“Dalam adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Namun, ada juga kegigihan dan usaha yang tidak terlihat langsung.
“Selama lapan minggu yang lalu, saya tidak pernah melihat seseorang meletakkan sebegitu banyak dedikasi dan kesungguhan dalam persediaan untuk persembahan,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu popular Asmara Ini telah berjuang sehabis baik sehingga terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga untuk memberikan persembahan yang terbaik buat penonton.
“Minggu demi minggu, insan ini mengorbankan masa bersama keluarga, makan, minum serta tidur semata-mata demi seni. Ya, orang lain bertanding, buat yang terbaik, ada kerja lain serta ada keluarga juga.
“Tetapi, jadual hiruk pikuk dan tahap tekanan semasa persediaan ini (campur dengan kecaman dahsyat daripada netizen) tak mungkin boleh dihadapi oleh orang lain setenang dia,” ujarnya lagi.
Tambah Imran, persembahan Fazley pada konsert keempat adalah antara nyanyian yang terbaik sepanjang berada di pentas GV8, namun terpaksa akur dengan adat penyingkiran dalam sebuah pertandingan.
“Untuk berlaku adil, persembahan malam tadi menerusi lagu Mahligai Syahdu sangat hebat dan nota tinggi adalah tepat. Berbanding tiga minggu lepas, yang ini adalah persembahan sebenar!
“Sayangnya, markah 0.5 bezakan antara penyingkiran dan selamatnya seorang peserta untuk seminggu lagi,” coretnya panjang.
Sekadar informasi, Fazley menjadi peserta GV8 kedua tersingkir selepas kumpulan Nico G yang telah disingkirkan pada minggu lalu.