PETALING JAYA: Semua pemain yang dipanggil menyertai kem Harimau Malaya adalah mereka yang terbaik di Liga Malaysia (Liga M) musim ini tegas pemain tengah berpengalaman Baddrol Bakhtiar.
Baddrol yang kini berusia 33 tahun,selain mahu memastikan pasukan kebangsaan layak ke final, dia juga memiliki misi tersendiri iaitu mahu meledak seberapa banyak gol di saingan Piala AFF 2020.
Sepanjang menyarung jersi Harimau Malaya, dia telah merekodkan lima gol sepanjang 58 penampilan di pentas antarabangsa dan mahu meledak lebih banyak gol seperti mana yang dilakukan dalam kempen Liga Super musim ini.
Pemain tengah Kedah itu berjaya meledak tujuh gol untuk muncul sebagai penjaring terbanyak pemain tempatan dalam kelompok 10 penjaring yang didominasi oleh sembilan penyerang import.
“Saya melihat panggilan kali ini, senarai pemain yang dipanggil memang persaingannya begitu sengit termasuk untuk berada dalam senarai akhir atau kesebelasan utama.
“Bagi saya skuad kali ini adalah skuad terbaik dan sesiapa yang dipanggil ke pasukan kebangsaan merupakan pemain terbaik di Liga M ketika ini.
“Sasaran saya adalah menjaringkan gol dan bagi sebaik mungkin kepada pasukan. Tetapi yang penting sekali kami perlu menang satu-satu perlawanan dan layak ke separuh akhir,” uajrnya.
Semestinya untuk mana-mana pemain yang turun dalam apa-apa kejohanan harus memiliki mentaliti untuk menang kerana ia akan menjadi kunci bagi mencapai sesuatu kejayaan.
“Insya-Allah kalau rezeki ada pada Malaysia tak mustahil kita ke final,” jelas Baddrol yang dikaitkan dengan perpindahan ke Sabah musim depan selepas menabur bakti di Kedah sejak 2005.