KOTA BHARU: Peniaga ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan hubungan seks sumbang mahram dengan adik ipar yang berusia 15 tahun, bulan lalu.
Tertuduh berusia 33 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan sumbang mahram iaitu hubungan seks bersama remaja berusia 15 tahun tujuh bulan itu di sebuah rumah di Sungai Durian, Kuala Krai pada 23 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.
Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah tersebut seorang penjamin, sebelum menetapkan tarikh 13 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.