Tabiat buang sampah berulang sumbang banjir teruk

Tabiat buang sampah berulang sumbang banjir teruk

KEADAAN Sungai Tebrau yang terus dipenuhi sampah sarap meskipun dibersihkan secara konsisten pada setiap hari di Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu pembuangan sampah yang berleluasa di saliran air terutama sungai yang dilihat semakin serius di bandar raya ini boleh menyumbang kepada berlakunya banjir di beberapa kawasan tumpuan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, selain sungai masalah sama akan tetap berulang walaupun sudah banyak kali kerja-kerja pembersihan saliran dan parit dilakukan pihak berkuasa.

Katanya, masalah itu kebanyakannya berlaku di kawasan setinggan yang berada di kawasan ‘hotspot’ banjir ketika fenomena Luruan Monsun yang diramal berlaku bermula esok hingga 3 Januari depan.

“Harap masyarakat di kawasan tersebut bersiap sedia dengan kemungkinan berlaku banjir dan jangan pula meneruskan sikap membuang sampah ke dalam parit atau sungai, ini yang menjadi punca berlaku banjir dalam bandar.

“Tidak dinafikan masalah pembuangan sampah semakin berleluasa walaupun sudah banyak kali kerja-kerja pembersihan dilakukan. Sebagai contoh di Sungai Tebrau, kita kutip kira-kira satu tan plastik sampah dalam masa sehari. Kutipan sampah ini konsisten bermakna setiap hari pembuangan sampah ini dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini hari ini.

Noorazam berkata, MBJB menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang mengutamakan kebersihan dan tidak boleh menjadikan sungai sebagai ‘pintu belakang’. 

“Isu ini perlu dipandang serius oleh semua pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan sungai di kawasan bandar raya ini,” katanya.

Katanya, kerja pembersihan sungai akan diteruskan ke Sungai Skudai pada tahun depan bagi mengindahkan kawasan sungai berkenaan.

Pada Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air terutamanya pada musim hujan di kawasan bandaraya Johor Bahru.

Baginda bertitah, hasil siasatan MBJB mendapati banjir kilat melanda kawasan bandaraya pada September berpunca akibat sistem saliran tersumbat disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.

Titah Sultan Johor, masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai kerana apabila hujan dalam jumlah yang besar dan lama akan menyebabkan banjir kilat tidak dapat dielakkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya