Syarikat kontraktor pembinaan didenda maksimum RM50,000  - Utusan Malaysia

Syarikat kontraktor pembinaan didenda maksimum RM50,000 

HAW Sei Sheng selaku OKS hadir bagi syarikat Hab Construction Sdn. Bhd. yang didakwa gagal mengadakan penyeliaan kepada pekerja semasa pengoperasian kren menara sehingga menyebabkan seorang pekerja maut di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Syarikat kontraktor pembinaan, Hab Construction Sdn. Bhd. dijatuhi hukuman denda maksimum RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah gagal mengadakan penyeliaan kepada pekerja semasa pengoperasian kren menara sehingga menyebabkan seorang pekerja maut, tiga tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah di peringkat akhir kes pembelaan. Syarikat terbabit diwakili Pengarah Urusannya, Haw Sei Sheng selaku orang kena saman (OKS).

Dalam penghujahannya, Rofiah berkata, mahkamah mengakui kemalangan terbabit berpunca daripada keruntuhan struktur kren tersebut namun kegagalan penyeliaan di kawasan radius kren beroperasi perlu diambil kira.

Katanya, faktor deteran dan pengajaran perlu diambil kira sebagai mesej bukan sahaja kepada pihak OKS tetapi kepada pemain industri yang lain. Bagaimanapun, permohonan pihak pembelaan untuk memohon tempoh waktu bagi membolehkan OKS menjelaskan denda ditolak pihak mahkamah atas alasan projek terbabit bernilai RM1.2 bilion dan kejadian berlaku pada fasa kelima yang bernilai RM490 juta.

“Mahkamah menetapkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan tidak menggunakan budi bicara untuk menangguhkan bayaran dan ia perlu dijelaskan hari ini,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Hab Construction Sdn Bhd didakwa sebagai majikan telah gagal untuk memastikan keselamatan kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerja dengan gagal mengadakan penyeliaan kepada pekerja-pekerja sebagaimana yang perlu semasa pengoperasian kren menara sehingga menyebabkan kemalangan pekerja ditimpa oleh struktur kren menara yang mengalami kegagalan struktur semasa bekerja.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tapak projek cadangan pembangunan bercampur untuk Tetuan City Centerpoint Sdn. Bhd. di Persiaran Multimedia, Seksyen 7, di sini pada pukul 10.30 pagi, 2 Januari 2018. Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 19 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.

Dalam kejadian tersebut, seorang pekerja pembinaan warganegara Indonesia, Matrais dilaporkan meninggal dunia manakala tiga lagi pekerja cedera. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya